Hoki | Pakistan Sekat Hajat Malaysia

30 October 2016
K2_ITEM_AUTHOR 
Pasukan Pakistan meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Trofi Liga Juara-Juara Asia QNET 2016 Foto: Bayu | www.gawang.my

Impian The Speedy Tiger untuk mara ke perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia Asia QNET 2016 (QNET Men's Asian Champions Trophy 2016) terkubur apabila tumpas melalui penalty shootout 2-3 kepada Juara Bertahan, Pakistan malam tadi setelah terikat 1-1 sehingga wisel penamat.

 

Ketua Jurulatih Malaysia, Stephen Van Huizen sebelum perlawanan bermula berkata kemenangan 4-2 pada perlawanan pembukaan tempohari bukan penanda aras. Sebaliknya Malaysia melakukan pendekatan berbeza setelah menganalisis video perlawanan yang melibatkan Pakistan dan mengharapkan pasukannya mampu mencatat kemenangan.

Malaysia terlebih dahulu di hadapan apabila Shahril Saabah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18. Pakistan menyamakan kedudukan melalui gol padang oleh Abdul Khan pada minit ke-34. Kedudukan seri terikat sehingga tamat perlawanan yang membawa kepada penalty shootout untuk menentukan pasukan yang akan bertemu India yang terlebih dahulu menumbangkan Korea juga melalui penalty shootout 5-4 setelah seri 2-2 pada sebelah petang.

 

Firhan Ashari dan Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti untuk The Speedy Tiger. Malaysia berpeluang melebarkan kedudukan selepas Muhammad Rizwan Sr gagal menewaskan S. Kumar untuk pukulan penalti kedua Pakistan. Namun, kelebihan tersebut gagal di manfaatkan oleh Faiz Helmi. Pakistan menyamakan kedudukan menjadi 2-2 melalui Muhammad Ifran Jr. Pukulan penalti keempat juga tidak dapat disempurnakan Shahril Saabah. Kesempatan itu digunakan Pakistan untuk berada di hadapan melalui Muhammad Arslan Qadir. Pukulan penalti terakhir Malaysia melalui Fitri Saari turut tersasar sekaligus memberikan kemenangan 3-2 kepada Pakistan.

Malaysia akan bertemu Korea dalam penentuan tempat ketiga/keempat pada 30 Oktober 2016 (Ahad) jam 6.15 petang di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Sekali lagi kami menyeru penyokong yang berada di Kuantan dan kawasan sekitar berhampiran untuk sama-sama hadir memberikan sokongan kepada The Speedy Tiger. 

 

Teks: Norfazlinda Alimad / www.gawang.my

 

 

269 K2_VIEWS
ciknda
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree