KENYATAAN MEDIA PENANG FC: INSIDEN PERGADUHAN

KENYATAAN MEDIA PENANG FC: INSIDEN PERGADUHAN

Berhubung insiden yang berlaku semasa perlawanan terakhir antara Terengganu II FC dan Penang FC pada malam tadi, seperti mana yang diviralkan dalam pelbagai media massa, pihak Pengurusan telah pun mengarahkan Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih untuk menyediakan laporan penuh untuk tujuan penilaian, dan seterusnya untuk membantu pihak penganjur, FAM atau pun MFL, sekiranya terdapat keperluan membuat penyiasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

Dalam hal pihak Pengurusan tidak berpeluang mendapatkan gambaran dari aspek persediaan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar Stadium jika perlawanan diteruskan, pihak Pengurusan perlu membuat suatu pendirian yang tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan.

Sehubungan dengan kekhuatiran dari aspek keselamatan para pemain kedua-dua pasukan, khasnya dalam mengelak sebarang kecederaan atau situasi memudaratkan dalam dan luar perlawanan, pihak Pengurusan telah meminta Pasukan Penang FC memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan tersebut sebagai tanda semangat kesukanan dan bagi meraikan kejohanan yang berprestij bagi negeri Terengganu.

Dalam hal ini, pihak Pengurusan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan tindakan penambahbaikan dari aspek keselamatan, dan apa-apa usaha dalam memperbaiki kelemahan penganjuran oleh pasukan tuan rumah di masa-masa akan datang. Pihak Pengurusan akan sentiasa berbesar hati untuk menerima pelawaan untuk menyertai kejohanan-kejohanan seumpamanya di masa-masa hadapan.

Dalam pada itu, pihak Pengurusan juga amat meraikan dan menyokong penuh usaha-usaha FAM dalam menambah baik kualiti sistem pengadilan perlawanan, termasuk perlawanan-perlawanan persahabatan, dalam melahirkan pengadil-pengadil yang lebih cekap, berkemahiran tinggi dan berbijaksana, khususnya dalam mengendalikan pelbagai situasi tegang di bawah pengadilan yang berwibawa.

Pihak Pengurusan juga sentiasa mengingatkan para pemain Penang FC agar sentiasa lebih tenang dalam pelbagai situasi dan sentiasa mematuhi peraturan perlawanan, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi rakan sepasukan diserang atau dicederakan secara tidak bijaksana oleh mana-mana pemain lawan dalam mana-mana perlawanan. Sehubungan itu, Pengurusan Penang FC tidak bercadang untuk memanjang-manjangkan perkara ini dan mengambil maklum tentang isu kekeliruan dan tindakan agresif dalam situasi tegang yang telah menyebabkan tindakan fizikal ke atas beberapa pemain Penang FC, sehingga menyebabkan kecederaan di muka salah seorang pemain Penang FC.

Dalam hal ini, Penang FC mengambil maklum bahawa tindakan Adib Raof yang cuba meleraikan insiden yang berlaku telah disalahfahami sebagai satu bentuk provokasi oleh pemain lawan yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan secara fizikal tersebut. Tindakan agresif ini juga nampaknya telah menyebabkan beberapa pemain-pemain Penang FC hilang kawalan bagi membalas balik tindakan fizikal tersebut.

Kita berharap melalui ujian MRI yang akan dijalankan ke atas pemain berkenaan, tidak melibatkan kecederaan yang boleh menyebabkan beliau tidak dapat bermain dalam mana-mana perlawanan penting dalam tempoh masa yang lama.

Dalam pada masa yang sama, para pemain Penang FC diharapkan agar lebih bersabar dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri daripada apa-apa kecederaan yang berbangkit daripada tindakan yang kurang bijaksana daripada mana-mana pihak. Dalam hal ini, aspek keselamatan luar stadium dalam mana-mana perlawanan juga sentiasa diambil kira dalam situasi provokasi menular melalui media sosial yang boleh mendorong mana-mana individu yang tidak berkenaan mengambil tindakan tidak bijaksana yang membahayakan para pemain dan pegawai Pasukan. Pihak Pengurusan sentiasa menyedari bahaya cyberbully dan viral ke atas maklumat tidak penuh boleh mendedahkan para pemain kepada risiko yang tidak perlu.

Sehubungan itu, sama-samalah kita berdoa dan berharap kecederaan bahagian hidung yang dialami oleh Adib Raof tidak berpanjangan melalui ujian MRI yang akan dijalankan pada hari ini. Kita juga berdoa agar pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan.

Kepada para penyokong Penang FC, diucapkan terima kasih di atas segala sokongan padu yang diberikan dan pihak Pengurusan memohon maaf di atas keputusan berat yang perlu dibuat pada malam tadi demi keselamatan semua pemain Penang FC dan Terengganu II.

Kepada pihak pasukan tuan rumah diucapkan tahniah di atas kejuaraan yang diperoleh dan terima kasih kepada pihak Terengganu FC selaku pihak penganjur yang telah menjayakan kejohanan ini dengan baik sekali. Pihak Pengurusan juga memohon maaf di atas apa-apa kesilapan yang berlaku sepanjang tempoh pasukan Penang FC menyertai pertandingan yang berprestij ini.

#PenangFC#BolaPenang#HariaPenangHaria#Penang2030#PenangFC2022#PreSeason2022

Sumber: Penang Football Club

Gadmin

P