UiTM FC Medan Import Lebar Sayap

30 January 2018
K2_ITEM_AUTHOR 

Sedar atau tidak, UiTM FC boleh dikatakan sebuah pasukan yang mempunyai beberapa pemain import yang berkualiti seperti Bang Seung Hwan, Dao Bakary, Akanni-Sunday dan juga Do Dong Hyun pada musim-musim terdahulu. Apabila berbicara soal pemain import berkualiti dalam pasukan bajet sederhana, sudah tentu kebiasaannya mereka tidak akan kekal lama.

Jika nama Bang sudahpun terlalu besar ketika hadir dalam kancah Liga Malaysia sekaligus menyaksikan dia lebih mudah untuk mencari pasukan hebat yang lain, berbeza pula dengan Akanni dan juga Dong Hyun sebagai contoh. Bagi musim 2017, gandingan berbisa ini telahpun menjaringkan 33 gol secara keseluruhan sekaligus menjadi tiket penting pasukan besar lain mengajak mereka berhijrah. Musim ini, Akanni bersama Terengganu FC II sementara Dong Hyun pula memilih untuk menyertai Kelantan.

Perasaan bercampur-baur nyata wujud ketika Gawang.my menemubual kapten UiTM FC, Afif Asyraf mengenai rakan sepasukan importnya yang kini tidak lagi bersama setelah dipancing pasukan lain. Daripada satu aspek, mereka bertuah dapat beraksi bersama barisan import tersebut sebelum ini. Manakala daripada satu aspek lain pula, mereka agak kecewa kerana tidak akan lagi bermain bersama tetapi pada masa yang sama berbangga kerana bekas rakan sepasukannya itu kini bermain untuk kelab-kelab yang lebih besar.

Walaubagaimanapun, UiTM FC dilihat serius mencari pengganti yang setara apabila berjaya membawa masuk bekas penyerang skuad bawah 17 tahun Argentina, Lucas Ramón Pugh bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Akanni-Sunday. Sementara satu lagi slot diisi pemain tinggi lampai daripada Jepun, Kota Kawase. Kedua-dua pemain import baharu ini bakal bergandingan dengan satu-satunya pemain import musim lalu yang masih kekal iaitu, Marcel Dechi.

“Belum nampak lagi impak yang akan diberikan oleh import-import baharu ini tetapi kami percaya mereka boleh melakukan sesuatu. Bola sepak adalah permainan berpasukan jadi kami akan bermain sebagai satu pasukan.” tambah Afif lagi taktala berbicara tentang persiapan pasukannya menjelang musim baharu Liga Malaysia 2018.

UiTM FC akan memulakan kempen 100 Plus Liga Premier 2018 dengan menerima kunjungan Pulau Pinang di halaman sendiri, Stadium UiTM Shah Alam pada 1 Febuari ini jam 9 malam.

Teks: Mohamad Asyraaf / www.gawang.my

 

  • Social network:
221 K2_VIEWS
Gawangdotmy
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree