SIDANG MEDIA PERLAWANAN AKHIR SUPERBEST POWER PIALA FA 2016 | JOHOR DT LAWAN PKNS FC

13 May 2016
K2_ITEM_AUTHOR 
Foto: Gawang.my

SIDANG MEDIA PERLAWANAN AKHIR SUPERBEST POWER PIALA FA 2016

JOHOR DARUL TA'ZIM LAWAN PKNS FC

"Perlawanan akhir adalah penting bagi Johor Darul Ta'zim. Kami menghormati lawan tetapi tetap berwaspada", kata Mario Gomez, Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim ketika Sidang Media Perlawanan Akhir Superbest Power Piala FA 2016 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam pagi tadi.

 

"Hari ini kita bermain dengan pemain yang baik, hari esok kita bermain dengan pemain yang lain pula kerana Johor Darul Ta'zim memiliki ramai pemain yang bagus dan saya profesional dalam menguruskan senarai pemain yang bakal diturukan ketika perlawanan", ujarnya ketika menjawab pertanyaan wakil media mengenai kesebelasan utama pemain yang diturunkan ketika perlawanan Piala AFC yang lalu. Tanpa kelibat Fazly Mazlan yang tidak akan beraksi, Mario Gomez tenang mengatakan bahawa beliau percaya ada pemain lain yang boleh bermain dengan baik seperti Jasazrin Jamaluddin untuk diturunkan bertemu Sang Semut Merah. 

Penyerang import PKNS FC, Juan Manuel Cobelli yang pernah dilatih Mario Gomez disifatkan sebagai seorang penyerang yang bagus dan pergerakannya perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Johor Darul Ta'zim. Tempoh 90 minit perlawanan adalah penting untuk menentukan kemenangan memihak kepada Johor Darul Ta'zim atau sebaliknya. Tetapi, kemenangan memang menjadi impian pasukannya. Mario Gomez berharap kemenangan berpihak kepada pasukannya dalam tempoh tersebut. Ketua Jurulatih PKNS FC, E Elavarasan dalam nada bersahaja turut mengatakan: "If we are winning, we would like to finish earlier". 

Seterusnya, bagi The Red Ants, E Elavarasan berkata beliau hanya mempunyai tempoh tiga (3) minggu untuk mempersiapkan pasukan semasa dilantik sebagai Ketua Jurulatih PKNS FC musim lalu yang mana kebanyakan pemain telah menandatangani kontrak dua (2) tahun semasa liga berlangsung. "Musim ini saya menggunakan pemain sedia ada dengan melakukan sedikit perubahan pada pasukan Ketika ini terlalu awal untuk mengatakan PKNS FC berada pada tahap sebenar atau tidak. Saya tidak tahu tetapi kami berharap PKNS FC berada pada landasan yang tepat mencapai sasaran.

Menurut Ketua pasukan PKNS FC, Shahrul Azhar Ture, PKNS FC mempunyai moral tinggi dan motivasi pasukan kini berada dalam keadaan baik. "Kami bersedia untuk melakar sejarah pada malam perlawanan akhir esok", katanya dengan yakin. PKNS FC telah memberikan kejutan demi kejutan dalam setiap perlawanan yang melibatkan pasukan lebih baik termasuk pasukan dari Liga Super. Slogan "Never Give Up Never Surrender" yang diilhamkan pengurusan PKNS FC akan diterapkan ketika perlawanan nanti. 

"Semua pemain PKNS FC adalah berbahaya kerana mereka mempunyai pemain tempatan yang dibantu oleh pemain import yang baik. Ini menjadikan semua posisi PKNS adalah baik. Mereka juga telah menundukkan banyak pasukan termasuk pasukan dari Liga Super. PKNS FC adalah sebuah pasukan yang konsisten ketika bermain di laman sendiri mahupun di tempat lawan", Safiq Rahim memberikan reaksi terhadap soalan mengenai pemain paling bahaya PKNS FC yang perlu diberikan perhatian oleh Johor Darul Ta'zim.

Safiq Rahim juga berkata Johor Darul Ta'zim tidak berdepan dengan tekanan kerana kejayaan mara ke perlawanan akhir Superbest Power Piala FA ini adalah pencapaian terbaik bagi kedua-dua pasukan. "Saya rasa kalau kita letakkan tekanan, kita tidak akan dapat bermain dengan baik. Karakter diri adalah penting untuk mengawal tekanan tersebut". Beliau berharap kedua-dua pasukan akan memberikan aksi terbaik masing-masing dan mencipta suasana perlawanan akhir yang paling baik sejak Piala FA ini diperkenalkan.

Mengenai prestasi dirinya yang dilihat mencatatkan peningkatan di dalam permainan sejak kebelakangan ini, Safiq Rahim mengakui ianya kerana beliau kini berada di dalam pasukan yang terbaik dan disokong oleh penaung dan ketua yang baik selain mendapat sokongan daripada pihak pengurusan dan staf kejurulatihan serta rakan sepasukan yang saling membantu antara satu sama lain.

Tidak mengira siapa yang akan menjaringkan gol buat Johor Darul Ta'zim malam esok, Safiq menuntut rakan sepasukan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan. "Sebelum ini saya berada di sana (Stadium Shah Alam), mungkin saya mahukan sesuatu esok. Saya harap saya dapat bantu pasukan menjulang piala dan ia akan menjadi satu sejarah peribadi untuk saya di Shah Alam", jawabnya menutup sesi sidang media tersebut.

 

 

  • Social network:
220 K2_VIEWS
Gawangdotmy
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree