Perlawanan Akhir Superbest Power Piala FA 2016 | Johor Darul Ta'zim Juara!

14 May 2016
K2_ITEM_AUTHOR 
Superbest Power Piala FA dijulang oleh pemain Johor Darul Ta'zim Foto: Khairi Hafizi / www.gawang.my

PERLAWANAN AKHIR SUPERBEST POWER PIALA FA 2016 : JOHOR DARUL TA'ZIM LAWAN PKNS FC
Hujan yang turun sebelum sepakmula dan keadaan padang yang basah tidak sedikitpun menjejaskan aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan malam tadi. Anak buah E Elavarasan memberikan tekanan awal sebaik sahaja wisel dibunyikan. Gawang Izham Tarmizi diuji seawal minit kedua oleh penyerang berbisa PKNS FC, Gabriel Miguel Guerra apabila percubaannya menggegar palang gol Johor Darul Ta'zim.

Usaha PKNS FC tampak berbaloi apabila mendahului pada minit ke-4 hasil sepakan penalti Gabriel Miguel Guerra setelah Aidil Zafuan Abd Razak menjatuhkan Gonzalo Soto. Bentesan keras G. Jeevanathan ke atas Jorge Pereyra Diaz ketika berusaha menyelamatkan gawangnya pada minit ke-14 mengundang padah apabila beliau dilayangkan kad kuning dan Johor Darul Ta'zim dihadiahkan sepakan penalti. Kapten pasukan, Safiq Rahim menyempurnakan sepakan deras ke kiri gawang PKNS FC bagi mengikat kedudukan 1-1.

PKNS FC memperkemas jentera serangan dan memberikan cabaran. Hasilnya, PKNS FC hampir berada di hadapan apabila sepakan penjuru oleh Nazrin Syamsul Bahri hampir menghasilkan gol namun tindakan berani penjaga gol muda , Izham Tarmizi menumbuk keluar bola tersebut melegakan kem Johor Darul Ta'zim. 

Berpunca daripada kekasaran Nazrin Syamsul Bahri ke atas Juan Martin Lucero pada minit ke-34, pengadil menghadiahkan sepakan percuma yang mana ianya pantas diambil Safiq Rahim dengan melakukan hantaran kepada Jorge Pereyra Diaz. Sepakan susulan daripada Jorge Pereryra Diaz setelah pemain PKNS FC gagal mengeluarkan bola tersebut menghasilkan gol kedua Johor Darul Ta'zim. Tamat separuh masa pertama, Johor Darul Ta'zim memimpin perlawanan dengan 2-1.

PKNS FC melakukan pertukaran awal ketika bermula separuh masa kedua dengan mengeluarkan M Sivakumar dan digantikan oleh Shahurain Abu Samah dalam usaha mencari gol penyamaan. Akan tetapi, Johor Darul Ta'zim lebih menguasai babak kedua dengan baik. Pergerakan jentera serangan PKNS FC berjaya dirantai pertahanan Johor Darul Ta'zim yang diketuai oleh Aidil Zafuan Abd Razak.

Marcos Antonio berjaya menghalang tandukan Juan Manuel Cobelli daripada menerjah jaring pada minit ke-52 setelah pemain itu menerima hantaran melalui sepakan percuma Gabriel Miguel Guerra. 

Azinee Taib melakukan hantaran silang pada minit ke-55 tetapi dihalang Ketua Pasukan PKNS FC, Gonzalo Soto. Sepakan sudut susulan Safiq Rahim pula ditumbuk keluar oleh G Jeevanathan. Dua minit berselang, Azinee Taib sekali lagi melakukan hantaran tepat ke arah Jorge Pereyra Diaz namun tandukan yang dilakukan Jorge Pereyra Diaz tersasar.

Percubaan terus Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-70 pula melencong ke kiri gawang Izham Tarmizi. Minit ke-72, giliran Jorge Pereyra Diaz yang cuba membantu Aidil Zafuan Abd Razak terlepas peluang apabila sepakannya gagal menemui jaring walaupun pintu gol PKNS FC telahpun terbuka luas.

PKNS FC melakukan asakan dan serangan bertali arus pada lima minit terakhir perlawanan. Kesilapan pertahanan Johor Darul Ta'zim hampir dihukum Matias Nicolas Hadwa pada minit ke-84 yang melepaskan satu rembatan jarak jauh sebelum ianya melepasi palang gol. Minit ke-86, PKNS FC sekali lagi menghadirkan resah kepada penyokong Johor Darul Ta'zim apabila Juan Manuel Cobelli melepaskan rembatan yang sedikit melencong dari gawang gol Johor Darul Ta'zim setelah berjaya melepasi perangkap offside. 

Tiada sebarang gol dihasilkan dalam babak kedua perlawanan sehingga empat minit masa tambahan yang diberikan. Kedudukan Johor Darul Ta'zim (2) -(1) PKNS FC kekal sehingga tamat perlawanan. Johor Darul Ta'zim dinobatkan sebagai Juara Superbest Power Piala FA 2016.

 

  • Social network:
297 K2_VIEWS
Gawangdotmy
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree