Final Piala FA 2017: Tiket ke Asia Jadi Rebutan

19 May 2017
K2_ITEM_AUTHOR 

Kedua-dua pasukan baik Pahang mahupun Kedah punya misi tersendiri untuk perlawanan akhir Sabtu malam ini. Pahang ingin mencari slot automatik ke pentas Asia semula dalam usaha membawa semula nama Tok Gajah yang sedikit tercalar tercalar pada musim lalu. Slot automatik yang membawa maskud mereka akan menjulang piala ini sedikit sebanyak akan mengubat kekecewaan para penyokong secara langsungnya.

Bagi skuad hijau kuning pula, tiada detik yang lebih baik daripada apa yang sedang mereka rasainya ketika ini, untuk mengulangi semula pencapaian menyapu bersih kesemua piala yang dipertandingkan dalam saingan domestik. Apa tidaknya, kedudukan mereka dalam kancah liga masih dilandasan yang tepat untuk bergelar juara disamping sudah menempah slot ke saingan TM Piala Malaysia pula. Makanya ‘final’ Sabtu ini mungkin menjadi permulaan cemerlang menambah koleksi piala selepas Piala Sultan Haji Ahmad Shah dijulangnya awal Januari lalu.

Jika dilihat perjalanan kedua-dua pasukan ini ke Shah Alam, pastinya ranjau lebih berliku dilalui skuad bimbingan Dollah Salleh. Takdir menemukan mereka dengan lawan yang lebih sukar jika dibandingkan dengan skuad Lang Merah. Tetapi karektor seorang juara ditonjolkan mereka terutama ketika menyingkirkan juara bertahan, JDT di suku akhir sebelum ‘menghadiahkan’ kekalahan pertama buat Negeri Sembilan bagi musim 2017 ketika saingan separuh akhir.

Berbalik kepada Kedah pula, hanya Perak dilihat menyukarkan mereka daripada terus bermaharajalela dalam perjalanan ke ‘final’. Selebihnya, tiada apa yang dapat menghalang kehendak pasukan ini serta para penyokongnya untuk ke pentas ‘final’ buat kali ketiga berturut-turut sejak 2015 walaupun bukanlah dalam kejohanan yang sama. Namun pasti ‘final’ kali ini berbeza kerana kali terakhir mereka merasai nikmat bergelar juara Piala FA adalah pada 2008 walaupun pada 2010 mereka sudahpun hampir melaksanakannya.

Jika diambil kira keputusan Liga Super musim ini membabitkan kedua-dua ‘finalist’ ini, nyata kemenangan selesa 4-1 Kedah keatas Pahang di Alor Setar memungkinkan mereka boleh menarik sedikit nafas lega. Cumanya, semua sedia maklum pentas perlawanan akhir adalah situasi yang sangat berbeza sama sekali. Pahang juga sudah tentu belajar sesuatu daripada kekalahan besar itu dan kembali fokus untuk bangkit sehingga mampu ke ‘final’.

Skuad bimbingan pengendali sementara, Nidzam Adza Yusuf  tidak boleh terlalu selesa apatah lagi Pahang baru sahaja mendaftarkan pemain import serangan yang baharu iaitu, Yamil Romero yang merupakan produk kelab terkemuka Argentina, Boca Juniors pada jendela perpindahan pertengahan musim yang baru sahaja dibuka Isnin lalu. Hanya pemain ini menjadi asbab Kedah bakal menggigit jari dan dalam masa yang sama menjadi senjata rahsia terbaharu bagi membantu Tok Gajah ‘membalas dendam’ kekalahan besar 1-4 tempoh hari sekaligus menjulang kejuaraan yang kali terakhir dijulang pada 2014.

Ketika penjaga gol utama Lang Merah, Ifwat Akmal dalam sesi temuramah bersama media menjelaskan mereka sudah mengkaji permainan skuad ‘Hogoh Pahang Hogoh’ ini terutama dalam usaha menyekat kelincahan Mahamadou Sumareh serta Matheus Alves. Pasti ancaman lain akan hadir daripada Yamil kerana dialah satu-satunya pemain yang masih tidak diketahui umum bagaimana corak permainan dan kemampuan yang dimilikinya. Sudah semestinya Dollah punya perancangan tersendiri untuk menggunakan pemain kelahiran Argentina ini sebaik mungkin, cuma daripada mana Yamil akan bermula itu sahaja menjadi persoalan buat ketika ini.

Kedah pula dijangka akan terus menampilkan corak permainan berpasukan dengan hantaran pendek dan menyandarkan harapan dibahu trio serangan menggila mereka yang diketuai Ken Ilso dan Sandro Mendonca selain dibantu pemain-pemain tempatan yang lain terutama Baddrol Bakhtiar serta Syazwan Zainon. Pahang pula akan mengharapkan lebih kepada gerakan dan kebijaksaaan individu untuk mencetak gol awal pastinya menerusi Sumareh, Wan Zaharul Nizam dan tidak ketinggalan perancang tengah, Syamim Yahya. Pertembungan dibahagian tengah antara Syamim dan Liridon Krasniqi juga dijangka akan lebih kerap berlaku sekaligus menambah keghairahan peminat bola sepak tempatan menjelang perlawanan akhir kelak.

Perlawanan akhir Piala FA 2017 akan berlangsung pada 20 Mei di Stadium Shah Alam dan dijangka 80 000 penyokong daripada kedua-dua pasukan akan memenuhkan venue itu seawal jam 4 petang. Bagi yang tidak berkesempatan ke stadium mahupun gagal mendapatkan tiket, boleh mengikuti siaran secara langsung di TV3 bermula jam 8.30 malam.

Teks: Mohamad Asyraaf / www.gawang.my

 

  • Social network:
206 K2_VIEWS
Gawangdotmy
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree