Ben 10 Penolong Pengurus Skuad Liga Simpanan KUFC.

Kelantan United FC melantik lagenda skuad treble Kelantan, Norfarhan Muhammad mengisi jawatan penolong pengurus skuad Liga Simpanan (B-23) musim 2023.
Pihak pengurusan kelab melahirkan keyakinan tinggi dengan pemilihan Norfarhan kerana beliau mengetahui selok belok dunia bola sepak selain turut memiliki akademi sendiri seterusnya dilihat sesuai untuk menguruskan pemain muda Sang Kijang Hijau.
Selepas membuat pertimbangan dan kajian, pelantikan Norfarhan Muhammad bertepatan dengan visi dan misi Kelantan United FC untuk membina skuad muda berdaya saing dalam saingan Liga Simpanan.
Justeru itu, Norfarhan Muhammad atau terkenal dengan julukan Ben 10 akan bekerjasama dengan jurulatih yang dilantik untuk mencari mekanisma terbaik seterusnya memberikan cabaran kepada kelab lain pada saingan bawah 23 tahun 2023.
Dalam perkembangan sama, Norfarhan Muhammad menyatakan rasa terima kasih kepada Kelantan United FC kerana memberikan peluang kepadanya untuk kembali dalam arena bola sepak.
Walau sekadar jawatan penolong pengurus, Norfarhan berjanji akan bersama para jurulatih membina skuad terbaik yang mampu bersaing dan mengetengahkannya pemain ini sehingga ke peringkat tertinggi.
Beliau juga mahu berkongsi pengalaman yang ada padanya dengan mencungkil bakat-bakat yang mampu menaikkan nama Kelantan United FC ke persada negara.

-Media [Official] KUFC-