Kelantan FC harap kerajaan negeri lulus permohonan tanah

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berharap kerajaan negeri dapat meluluskan permohonan tanah kelab itu bagi membina tempat latihan khas buat pasukan selepas dua tahun ia dikemukakan pihaknya tanpa sebarang jawapan.
Katanya, pihaknya menyasarkan membina ekosistem bola sepak lengkap dengan tempat penginapan, padang sintetik, padang futsal dan fasiliti lain di tanah berkeluasan tidak kurang daripada 10 hektar.
“Kita sudah buat permohonan sejak dua tahun lalu, namun hingga kini tidak tahu status permohonan sama ada dalam proses dipertimbangkan, diluluskan atau apa…
“Kita bersangka baik mungkin sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi sekarang dah tak ada alasan sebab aktiviti sudah dibenarkan,” katanya.
“Kalau kerajaan negeri nak berkongsi, saya berlapang dada. Jika nak buat kemudian, pulangkan seperti buat BOT, juga boleh. Kita cuma mahukan pembangunan bola sepak diwujudkan.
“Kelab (Kelantan FC) dah lama, tapi tiada aset, ni kita nak buat aset. Kalau betul serius dalam membangunkan masa depan bola sepak negara, inilah caranya,” katanya.
“Kita cadang buat di Tumpat, tapi kawasan banjir pula, kalau boleh, biar kawasan tidak banjir, pemain dah bersungguh, kena ada padang khas untuk mereka. Ini juga untuk semua orang Kelantan,” katanya.