PELUANG KDNFC ISI KEKOSONGAN JIWA PENYOKONG KELANTAN YANG DITINGGALKAN TRW

PELUANG KDNFC ISI KEKOSONGAN JIWA PENYOKONG KELANTAN YANG DITINGGALKAN TRW

Setiap penyokong yang pernah merasai kegemilangan pasukan kesayangan mereka pastinya meletakkan harapan untuk pasukan mereka kembali pada prestasi terbaik seperti yang pernah dikecapi. Itulah yang kini dialami oleh para penyokong Kelantan yang masih mengimpikan pasukan mereka berada pada prestasi terbaik seperti yang pernah mereka kecapi 10 tahun lalu.

Sebahagian penyokong Kelantan yang sinonim dengan pasukan The Red Warriors yang dahagakan kejayaan mula mengintai untuk memberi sokongan kepada Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) yang kini merupakan wakil tunggal Kelantan dalam saingan Liga Super. Ini berikutan pasukan Kelantan FC yang dikenali dengan jolokan The Red Warriors akan menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim ini setelah berdepan zaman kejatuhan.

Walaupun masih ada penyokong TRW yang masih utuh berdiri bersama pasukan Kelantan FC namun sudah dapat dilihat sebahagian mereka mula memberi harapan dan tumpuan kepada pasukan KDNFC dengan kebanjiran penonton yang mula membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada perlawanan pembukaan Liga Super musim 2024/25 yang berlangsung pada 17 Mei 2024.

Stadium keramat penonton Kelantan itu kembali bergema dengan sokongan 7,778 penonton yang hadir menyaksikan pertemuan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) melayan kunjungan Sabah FC. Ia merupakan satu angka kehadiran yang amat memberangsangkan bagi pasukan KDNFC sejak mereka menjejakkan kaki ke Liga Malaysia dengan nama MPKB-BRI beberapa tahun dahulu. Ia merupakan satu isyarat bahawa para penyokong mula memberi peluang kepada KDNFC bagi mengisi kekosongan sokongan mereka dalam kancah Liga Super yang ditinggalkan TRW.

Persoalannya kini mampukah KDNFC mengambil peluang ini untuk mendapatkan sokongan mereka dengan mempamerkan prestasi terbaik yang perlu diterjemahkan dengan keputusan perlawanan yang diharapkan. Dalam aksi pembukaan musim tersebut, kedua-dua pasukan mempamerkan perlawanan penuh debaran dengan aksi berbalas serangan dari kedua-dua pasukan namun perlawanan berpihak kepada Sabah FC yang dibarisi bebapa pemain kebangsaan.

Pemain asal Palestin, Oday Kharoub Ali Abdalrahim yang juga merupakan kapten KDNFC mencuri perhatian penyokong dengan kualiti permainan yang ditunjukkan namun Sabah FC terlebih dahulu berjaya menjaringkan gol melalui Gabriel Peres minit ke-25. Chadrack Muzungu kemudiannya gagal menyempurnakan sepakan penalti yang berjaya diselamatkan bekas penjaga gawang TRW, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha bertali arus KDNFC membuahkan hasil pada minit ke-55 apabila Kim Lik Wan menyamakan kedudukan setelah menanduk masuk sepakan sudut Oday Kharoub. Stuart Wilkin kembali meletakkan Sabah FC di depan pada minit ke-63. Mereka kemudiannya terus melebarkan jaringan apabila Ramon Machado sekali lagi merobek gawang tuan rumah.

KDNFC yang tidak berputus asa menggandakan asakan berjaya merapatkan jurang melalui tandukan Bae Kyeonghwan pada minit ke-90. Walapun KDNFC terus mengasakan namun keputusan kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus 3 mata berjaya dibawa pulang ke Kota Kinabalu.

Ketua jurulatih KDNFC, Park Jae Hong berkata mereka akan mengkaji semula kelemahan dan bangkit semula mencari mata pada perlawanan akan datang.

Segelintir penyokong masih mengharapkan KDNFC akan bangkit dan akan terus memberikan sokongan kepada wakil tunggal Kelantan dalam saingan Liga Super. Apakah kepercayaan dan peluang mereka ini akan dibalas Kelantan Darul Naim FC?

Berikut adalah foto-foto sekitar aksi perlawanan tersebut.

Gadmin

P