PEMAIN IMPORT DAN NATURALISASI SINARI SKUAD SRI PAHANG FC

Skuad Sri Pahang FC tampil bergaya dengan kemenangan di gelanggang sendiri apabila membenam Kelantan FC dengan jaringan 4-1 di Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Skuad The Red Warriors (TRW) yang kembali ke kancah Liga Super Malaysia bagi musim 2023, ternyata masih mencari rentak dalam pertandingan peringkat ini apabila ketinggalan 4-0 di separuh masa pertama.
Gol skuad Tok Gajah masing-masing dijaringkan Kpah Sherman pada minit-12, apabila mengambil peluang atas “clearance” lemah pemain pertahanan Kelantan FC, merembat masuk ke gawang gol. Gol kedua tercipta hasil gerakan menarik daripada Kevin Ingreso yang membawa bola ke arah gol TRW dan merembat dari luar kotak penalti ke penjuru kanan gawang.
Wakil pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero menambah derita skuad TRW apabila merembat masuk gol ke-03 dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Rozaimi Rahamat. Gol ke-04 Sri Pahang FC hadir pada minit ke 45+1, juga melalui import baharu mereka, Stefano Brundo yang menolak bola masuk seakan situasi seperti gol pertama skuad Tok Gajah.
Permainan tampak sedikit perlahan pada separuh masa kedua dan Kelantan FC akhirnya berjaya memperolehi gol saguhati hasil jaringan Miguel Cifuentes pada minit ke-90+5 setelah menyambut tangkapan muntah penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan.
Dengan kemenangan ini, skuad Sri Pahang FC kini menaiki di tangga ke-05 Liga Super 2023 dengan 4mata dan Kelantan FC terjunam sebagai pasukan di tangga terakhir dengan tiada sebarang mata selepas dua (2) perlawanan.