SABAH FC BUNTU, SRI PAHANG TUMPUL DI DARUL MAKMUR

SABAH FC BUNTU, SRI PAHANG TUMPUL DI DARUL MAKMUR

Skuad Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat bersama Sabah FC dengan jaringan 1-1 di Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Skuad The Rhinos tampak lebih yakin dengan penguasaan permainan sepanjang 15 minit pertama dimana berjaya mendahului skuad Tok Gajah pada minit ke-14, melalui tandukan Daniel Ting yang gagal ditepis penjaga gol setelah menyahut bola hasil clearance lemah daripada barisan pertahanan Sri Pahang FC.

Sri Pahang FC kemudian cuba untuk melaksanakan serangan balas dan usaha mereka berhasil pada minit ke-26 menerusi gerakan sepasukan yang diakhiri dengan jaringan daripada penyerang import mereka, Kpah Sherman hasil hantaran lintang Azrif Nasrulhaq dalam kotak penalti.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang dengan kurangnya percubaan-percubaan berbahaya ke arah gawang, sebaliknya lebih kepada penguasaan bola dalam padang. Sabah FC kelihatan terganggu rentak mereka pada minit ke-67 apabila Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah akibat bertindak menentang keputusan pengadil.

Namun, Sri Pahang FC gagal mencuri peluang tersebut apabila buntu untuk mencari gol kemenangan pada perlawanan tersebut. Keputusan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat. Dengan keputusan ini, skuad Sri Pahang FC kekal berada di tangga ke-04 Liga Super 2023 dengan 6mata dan Sabah FC pula di tangga ke-02 sebagai pasukan pencabar pandahulu semasa, Johor Darul Ta’zim dengan 10mata.

Gadmin

P